Terengganu merupakan antara destinasi
pelancongan yang berbaloi untuk dilawati. Banyak tempat menarik yang
boleh anda kunjungi terutama di bandarnya, Kuala Terengganu (KT). Di
sekitar bandar KT, anda boleh berkunjung ke Pasar Kedai Payang yang
menjual pelbagai barangan yang serba lengkap - daripada sayur, ikan,
cenderamata, pakaian, songket, tembaga dan sebagainya.
Sepanjang
pengalaman saya mengunjungi bandar-bandar utama di negara kita, Pasar
Kedai Payang merupakan pilihan yang terbaik untuk membeli barangan
merupakan cenderamata ataupun barangan kraftangan. Semua barang
cenderamata ada dijual di sini. Anda mungkin rambang mata untuk membeli
pelbagai pilihan barangan seperti songket, batik, kain sutera, tembaga,
keropok, hiasan, - dan semuanya dengan harga yang berpatutan. Namun,
apabila membeli di sini, anda hendaklah pandai tawar-menawar. Contohnya
sehelai songket berharga RM950 (jangan terkejut dengan harga yang
diletakkan) mungkin dapat ditawar sehingga RM700, bergantung kepada
kepandaian anda dan sememangnya songket di sini merupakan yang terbaik.Selain
Pasar Payang, di sekitar pasar ada tempat untuk anda berehat di Dataran
Syahbandar.
Dataran yang baru siap dibina ini merupakan antara tumpuan
orang ramai untuk bersantai. Di sekitar dataran ini, anda boleh
berkunjung untuk melihat keindahan senibina Masjid Zainal Abidin atau
dikenali sebagai Masjid Putih di kalangan penduduk tempatan.Pantai
Batu Buruk merupakan lokasi pantai utama yang menjadi tumpuan orang
ramai. Terletak lebih kurang 3 km dari pusat bandar, Batu Buruk
menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung di samping pelbagai
pilihan makanan.
Masjid Terapung atau Masjid Tengku Intan Zaharah juga
tidak harus dilupakan apabila anda berkunjung ke Kuala Terengganu.
Kerepok lekor merupakan makanan wajib anda perlu makan apabila datang
ke sini. Keropok lekor yang terbaik boleh dibeli di Pasar Payang,
Seberang Takir ataupun di Losong. Namun bagi penduduk tempatan, keropok
lekor yang dijual di Losong bukan lagi menjadi pilihan utama disebabkan
kegiatannya yang agak komersil sehingga menjejaskan rasa keropok lekor
yang asli itu.Berhampiran
keropok Losong, anda boleh berkunjung ke Muzium Terengganu yang
merupakan muzium terbesar di Malaysia.
Terletak lebih kurang 4-5 km
dari pusat bandar, banyak yang boleh anda nikmati di sini. Selain
daripada koleksi barangan lama, muzium ini menjanjikan keindahan
panorama kepada pengunjungnya.
Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri
Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", "
Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini
melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga
dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula
dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang
kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun
menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan
mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".
Sementara
itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan
oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ).
Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah
datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat (
kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada
rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada
temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring
anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak
lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu
seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah
seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang
berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila
membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di
" Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.
Terdapat
dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan.
pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di
hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada
sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini
dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau
tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu
kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya
Kuala Sungai Terengganu.
Sebuah kitab lagi berkait dengan salah
sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini
adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada
zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan
kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala
Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai
Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan
menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu
lama kelamaan muncullah Terengganu.
http://en.wikipedia.org/wiki/Terengganu